KUCHING: Selepas sembilan hari dilaporkan hilang sejak 15 Jun lalu, seorang remaja Nur Afiqah Aina Mohamed Rafik, 14, akhirnya ditemukan selamat di sebuah pasar raya di Jalan Sultan Tengah di sini hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Remaja itu ditemui seorang diri oleh orang awam sekitar jam 3 petang tadi sebelum menghubungi pihak polis.

“Nur Afiqah Aina kita dah jumpa dekat sebuah pasar raya di Bandar Baru Samariang dalam keadaan sihat, kita sudah memaklumkan penemuan itu kepada ibu bapanya.

“Kita akan menjalankan soal siasat di mana dia berada selepas dilaporkan hilang sejak 15 Jun lalu,” katanya.

Menurut Aidil, semasa dijumpai pelajar  itu menggunakan pakaian yang berbeza dari hari dia dilaporkan hilang.

“Pakaian dia berlainan dari baju dia menghilangkan diri sebelum ini, jadi kita hairan siapa yang memberikan baju kepada Aina.

“Kita dapat dari makluman dari orang awam dan mengarahkan anggota dan pegawai untuk pergi ke tempat kejadian untuk pengesahan,” katanya lagi.

Aidil berkata Aina telah dibawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut.